Wednesday, October 21, 2009

Fahami 8 hak pengguna

PENGGUNA perlu lebih peka pada persekitaran agar tidak hanya menurut arus kemahuan peniaga dan hanya menjadi penjana keuntungan kepada mereka. Pengguna mempunyai hak dan sebagai pengguna kita perlu mengetahui dan mengenal pasti hak kita.

Empat hak asasi pengguna diisytiharkan pada 1962 iaitu hak mendapat keselamatan, hak mendapat maklumat, hak membuat pilihan dan hak menyuarakan pendapat.

International Organization of Consumer Union (IOCU) menggariskan empat lagi hak pengguna iaitu hak mendapatkan keperluan asas, hak mendapat ganti rugi, hak mendapat pendidikan berguna dan hak mendapatkan alam sekitar yang sihat dan selamat.

Lapan hak pengguna ini penting dikenal pasti supaya ia membantu kita memperjuangkan hak kita sebagai pengguna. Peranan pengguna amat penting bagi memastikan peniaga tidak memperlecehkan pengguna disebabkan sikap ambil mudah pengguna dalam memastikan hak mereka terpelihara.





Hak untuk mendapatkan keperluan asas ditakrifkan untuk mendapat barangan dan perkhidmatan yang perlu bagi kehidupan iaitu makanan mencukupi, pakaian, tempat tinggal, kesihatan pendidikan dan sanitasi.

Isu makanan sering menjadi perbincangan utama apabila membincangkan isu kepenggunaan. Ini kerana makanan adalah keperluan harian asasi manusia. Tanpa disedari oleh pengguna banyak faktor yang perlu diberi perhatian berhubung isu pemakanan.

Ini termasuklah dari segi kualiti dan aspek kebersihan yang menjadi fokus utama kita kali ini. Kebanjiran gerai, kedai makan dan restoran menjadi pilihan pengguna untuk menjamu selera setiap hari. Malah, ada di kalangan kita begitu cekap dan arif dalam mencari tempat makan yang menarik. Sebut saja apa hidangan yang teringin untuk dinikmati mula terbayang destinasi pilihan.

Tetapi berapa ramai di kalangan pengguna yang begitu peka berhubung kualiti makanan dan aspek kebersihan. Mengenai status halalnya? Isu halal akan dikupas oleh saya di dalam penulisan akan datang. Isu kualiti makanan dan kebersihan perlu diberi perhatian oleh pengguna kerana ramai masih gagal mengetahui dan mempergunakan hak mereka sekiranya membeli makanan yang telah rosak dan dicemari.

Ada aduan diterima daripada orang ramai yang pernah terminum teh tarik di dalam gelas yang dicemari tahi lipas, telur lalat di ayam goreng, mi goreng basi dan pelbagai peristiwa yang akan membuatkan kita loya mendengarnya. Insiden ini mungkin akan atau pernah berlaku kepada anda.

Pengguna yang mengalaminya akan marah dan kesal dengan kejadian berkenaan dan akhirnya akur apabila peniaga meminta maaf dan dikecualikan daripada membayar harga makanan terbabit.

Orang ramai sebenarnya mempunyai saluran untuk membuat pengaduan dan mempertahankan hak mereka sebagai pengguna agar peniaga yang mengambil mudah faktor kebersihan dan mutu makanan ini diberi pengajaran.

Terdapat peruntukan undang–undang dan saluran aduan yang boleh digunakan oleh pengguna apabila berhadapan dengan situasi seperti ini. Seandainya ia berlaku pada anda apa yang perlu dilakukan?

Dalam menghadapi situasi ini pengguna yang diberi makanan yang telah dicemari perlu mendapatkan sebanyak mungkin bukti bagi mengemukakan aduan. Sampel makanan yang dicemari adalah bukti paling kukuh. Jika menghadapi kesukaran pengguna boleh merakamkan gambar terbabit.

Resit atau bukti pembelian juga sekiranya ada boleh dikemukakan. Pengguna juga harus mengenal pasti nama premis terbabit dan alamat lengkap bagi mempermudahkan tindakan susulan terhadap pengaduan.

Anda boleh membuat pengaduan di mana–mana PBT (pihak berkuasa tempatan) di kawasan anda. Caranya amat mudah sama ada melalui telefon, surat, e-aduan atau datang terus ke Jabatan Kesihatan PBT berkaitan. Sebagai contoh, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyediakan kemudahan aduan melalui e-aduan di dalam laman web rasmi DBKL.

Setiap aduan melalui e-aduan kemudian akan dibahagikan mengikut zon pentadbiran DBKL.

Bagi kes makanan kotor dan dicemari bahagian sanitasi premis di bawah Jabatan Kesihatan DBKL akan memainkan peranan. Pengguna harus menggunakan saluran aduan seperti ini kerana setiap PBT mempunyai sistem aduan bagi menangani kes–kes premis yang didapati kotor dan menjual makanan tercemar.

Terdapat Undang–Undang Kecil Pengendali Makanan, Akta Undang–Undang Kecil Establishment Makanan yang boleh mengenakan tindakan terhadap mereka.

Peruntukan di bawah Akta Makanan 1983 dan Peraturan Makanan 1985 juga boleh diguna pakai khususnya oleh Kementerian Kesihatan. Pengguna disaran melaporkan terus kes–kes berkaitan makanan tercemar, kotor, rosak, tamat tarikh luput kepada mana–mana pejabat kesihatan daerah terdekat.

Aduan akan disiasat di bawah Unit Keselamatan dan Kualiti Makanan. Pejabat Kesihatan Daerah terdekat mempunyai Inspektor Kesihatan yang boleh memberikan penerangan sekiranya anda ingin mendapatkan maklum balas. Malah produk makanan dari pasar raya yang rosak seperti produk dicemari serta berulat juga boleh diadukan di sini.

Peniaga beragama Islam khususnya dinasihatkan berniagalah secara jujur kerana perniagaan adalah satu perkara yang mulia. Malah, ada hadis yang meriwayatkan peniaga yang berniaga secara jujur dan amanah akan dihimpunkan bersama para syuhada dan siddiqin di akhirat nanti. Begitu besar ganjaran Allah SWT bagi mereka yang memahaminya.

Pengguna pula digesa menggunakan platform aduan seperti ini sepenuhnya bagi memperjuangkan hak mereka. Pengguna hanya perlu pandai menggunakannya demi kepentingan masyarakat pengguna. Sekiranya kita mengambil mudah semua perkara dalam kehidupan maka kitalah yang akan mendapat kerugian. Kepekaan mengenai tanggungjawab dan hak kita sebagai pengguna akan memberi manfaat kepada masyarakat dan mendidik peniaga agar lebih beretika.

Akhirnya marilah bersama kita menanti pembentangan bajet Jumaat ini. Sudah tentu kita mengharapkan bajet kali ini mesra pengguna bagi memastikan pengguna tidak dibebankan dengan lebihan kos sara hidup.

Dalam mengaplikasikan bajet ini usaha kerajaan harus dilihat serius memastikan pengguna menikmati kehidupan lebih berkualiti khususnya mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana. Walaupun secara realitinya pemberian subsidi banyak telah disalurkan oleh kerajaan tetapi sejauh mana ia diterima oleh golongan sasaran harus dibuktikan.

Seperti yang berlaku terhadap penawaran beras ST 15 peratus yang tidak dinikmati oleh golongan sasaran kerana manipulasi dan mekanisma pelaksanaan yang gagal. Sektor perkhidmatan dan pengangkutan awam walaupun telah berkembang dengan baik tapi memerlukan lebih penekanan agar ia dinikmati sepenuhnya oleh rakyat negara ini dan bukan terus gah di kawasan ibu kota tetapi di kawasan lain masih tidak mempunyai jalinan sistem pengangkutan yang mesra pengguna.

Belanjawan 2008 juga menekankan berhubung pakej pinjaman perumahan bagi golongan tidak berpendapatan tetap tetapi setakat mana keberkesanannya perlu dimaklumkan dan pakej ini perlu diperluaskan kerana pemilikan ekuiti seperti rumah harus menjadi keutamaan. Ini bagi memastikan golongan tidak berpendapatan tetap juga mampu memilikinya.

Kerajaan juga diharap terus membantu industri kecil dan sederhana berkembang serta mempunyai pasaran lebih luas. Pengguna harus mempunyai alternatif dalam memilih produk kepenggunaan. Produk Bumiputera sukar mendapat tempat di pasaran walaupun berkualiti dan kompetitif kerana masalah pengedaran dan kesukaran menembusi pasaran. Kerajaan sewajarnya mengemukakan insentif atau mewujudkan pusat jualan setempat yang strategik untuk memasarkan produk Bumiputera.

Monopoli dalam industri tertentu juga boleh dikurangkan dengan pakej rangsangan pembinaan ‘one–stop centre’ di pinggir bandar bagi memberikan alternatif kepada pengguna.

Amatlah diharapkan isu kepenggunaan tidak dipinggirkan dalam pembentangan bajet bagi memberikan kesan positif kepada pengguna.



# Penulis ialah Pengarah Projek Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM)

No comments: