Sunday, September 27, 2009

Hubungan Sulit Siber Mejejaskan Perkahwinan

Kiriman raina

" Oleh Marhamah Abdul Wahid

“ SAYA bingung, ustazah, hati saya terasa hambar dengan suami. Suami sibuk dengan kerjayanya. Dia hanya pulang apabila matahari terbenam dan ke pejabat esoknya sebelum matahari muncul.

“Saya hanya bahagia apabila mendapat SMS, panggilan telefon dan apabila bersembang dengan si dia di alam siber. “Kami walaupun tidak pernah bersua muka, perasaan saya seolah-olah bercinta dengan bayang-bayang masing-masing. Hampir empat tahun berlalu, akhir-akhir ini, saya berasa bersalah, berdosa dan bingung, apabila si dia mencadangkan agar kami bertemu untuk menentukan masa depan.” Begitulah keluhan seorang ibu muda kepada saya pada suatu hari. Masalah itu sebenarnya biasa bagi seorang ibu yang kesunyian, terasa terabai, banyak masa terluang di depan komputer serta tidak punya kekuatan diri untuk melawan nafsu.


Namun, akhirnya dia sedar kesilapannya. Begitupun, sesi kaunseling terarah perlu untuk mengembalikan semula rasa harga diri dan maruah seorang wanita Islam. Bagi isteri yang menghadapi kemelut jiwa yang sama, saya ingin berkongsi bersama beberapa cadangan untuk keluar daripada permasalahan ini.Untuk lebih memahami masalah seumpama, beberapa langkah perlu dilakukan seikhlas hati dan iman serta difikir dengan penuh kesedaran.

Langkah pertama, sila jawab soalan penerokaan diri berikut:-

1. Apakah sebenarnya tujuan anda berhubung dengan lelaki itu?

2. Sejauh manakah anda ingin membina perhubungan itu? Adakah hubungan cinta, sebagai sahabat atau teman berbincang? (Islam tidak terus melarang perhubungan berlainan jantina asalkan dalam batas, tujuan dan cara selayaknya).

3. Contohnya, bagi kes isteri muda ini, dengan usia perkahwinan menjangkau 12 tahun, mempunyai tiga anak serta suami bertanggungjawab, puan mendakwa memiliki keluarga teramat bahagia. Setakat manakah benar pernyataan itu? Jawapan boleh berpandukan asas berikut:

a) Puas hati dengan keperluan rumah tangga yang disediakan suami?

b) Puas hati dengan layanan suami tiada halangan/jurang dari segi komunikasi dan tiada masalah seksual? (Anda boleh berkongsi perasaan dengannya)

c) Melaksanakan tanggungjawab rumah tangga dengan baik?

d) Puas hati dengan tingkah-laku anak?

e) Memiliki sahabat/jiran yang baik yang boleh berkongsi pandangan/ bertanya masalah?

4. Anda memulakan perhubungan dengan lelaki itu dengan menipu identiti sebenar. Selama itu juga anda mengkhianati amanah suami dengan ‘melayani’ lelaki lain hingga dingin dengan suami. Apakah pandangan anda terhadap dosa dan pahala berkaitan perkara itu?

5. Kalau anda berasa bersalah/berdosa, adakah ingin mengekalkan diri dalam dosa atau terus rasa bersalah, seolah-olah ingin terus dalam azab di dunia, apatah lagi di akhirat?

6. Kalau anda tidak mahu terus berada dalam kezaliman diri dengan masalah ini adakah ingin berubah dan bertaubat?

Kalau jawapan ya, ikuti langkah berikut:-

1. Bayangkan sekiranya suami mengkhianati kesetiaan anda (seperti anda lakukan). Suami sebenarnya mempunyai lebih banyak peluang untuk berbuat demikian berbanding diri anda. Apakah perasaan anda?

2. Bayangkan jika anda berada di tempat isteri lelaki yang dikenali itu, mendapat tahu suaminya mengkhianati kesetiaannya? Dengan status anda sebenar, bagaimana perasaan anda sebagai isterinya?

3. Bandingkan bagaimana kebahagiaan anda dalam keluarga bahagia dengan yang didakwa bahagia sehingga ‘ghalit’ kata orang Kedah dengan suaranya saja?

4. Adakah anda mendapat gambaran jaminan kebahagiaan yang lebih baik dengan lelaki itu yang hanya dikenali melalui e-mel atau SMS berbanding suami sekarang?

5. Anda masih inginkan perubahan? Ingin meneruskan keluarga bahagia atau hubungan dengan lelaki itu? Jawapannya ada pada diri anda. Kalau memilih yang pertama, sila fikirkan nasihat ini.Sekiranya suami tidak terhidu langsung perhubungan itu dan jika diceritakan akan menjadikan keadaan lebih buruk, saya cadangkan tidak perlu memberitahunya.

Sebaliknya ikuti langkah seterusnya.

1. Berterus terang dengan si dia. Minta maaf di atas kesalahan yang disengajakan. Sekiranya ingin terus berhubung sebagai sahabat dan tidak akan mengganggu kehidupan anda atau lelaki itu, ia mungkin boleh diteruskan. Jika anda berdua tidak dapat mengawal diri, lebih baik menjauhi dosa daripada perkara yang boleh menyebabkan/mendorong kepada melakukan dosa.

2. Tukar nombor telefon bimbit dan alamat e-mel bagi mengelakkan anda dapat dihubungi lelaki tadi. Anda juga perlu mengawal diri daripada menghubunginya.

3. Bertaubat untuk mendapat keampunan Allah dan berjanji tidak melakukannya lagi.

4. Jika anda bermasalah luahkannya kepada suami, mengapa perlu diluahkan kepada orang lain. Saya yakin kesunyian yang dihadapi boleh difikirkan oleh anda berdua untuk melakukan sesuatu yang akan terus membahagiakan anda dan keluarga. Carilah sahabat, saudara dan jiran yang boleh membantu. Lakukan kerja berfaedah.

5. Berbincang dengan suami supaya boleh mengikuti kursus yang diminati yang boleh mengisi masa dan membuka minda sebagai suri rumah.

Akhirnya, bertekad untuk berjaya mengatasi masalah ini. Bertawakal kepada Allah kerana sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Memberi Pertolongan kepada hamba yang memohon kepada-Nya.


Note:

No comments: